ISU MESIR DI KACA MATA PENYOKONG AS-SISI Soalan (S): Bagaimana Jeneral Abdul Fa... ISU MESIR DI KACA MATA PENYOKONG AS-SISI
Soalan (S): Bagaimana Jeneral Abdul Fa... ISU MESIR DI KACA MATA PENYOKONG AS-SISI Soalan (S): Bagaimana Jeneral Abdul Fatah As-Sisi di mata anda?
Penyokong Sisi (PS): Bagi saya dan seluruh rakyat Mesir, dia merupakan wira, hero dan singa Arab yang cukup berani.
S: Kenapa anda berkata demikian? PS: Kerana dia sebenarnya telah menyelamatkan negara ini dari Ikhwan Muslimin. Ikhwan Muslimin hampir menjahanamkan negara ini selama setahun pemerintahan Morsi. Semasa Morsi berkuasa, yang memerintah ialah Mohammad Badi'e (Musryidul Am). Yang memberikan arahan kepada Morsi ialah Maktab Irsyad. Morsi hanya boneka. Sebab itu laungan kami kepada Morsi "Tumbang! Tumbang Pemerintahan Mursyid Am". Sepertimana Jamal Abdul Naser satu ketika dahulu yang kami anggap sebagai bapa kepada sekalian rakyat. Dia menjaga kami dari disesatkan oleh Ikhwan. Kerana itu dia menggantung Syed Qutb, Abdul Kadir Audah dan ahli Ikhwan yang lain. Jika tidak, sekian lama Mesir hancur kerana kerakusan Ikhwan.
S: Bukankah Morsi telah meletakkan jawatan sebagai Presiden FJP (parti yang ditubuhkan Ikhwan) sebaik sahaja dia menang?
PS: Ya, dia telah letak jawatan tetapi itu hanya sandiwara. Morsi tetap terikat dengan telunjuk Mursyidul Amnya.
S: Apa yang dibuat oleh Morsi hingga dilihat menjahanamkan negara?
PS: Morsi dan Ikhwan cuba menjual Terusan Suez kepada Qatar, kerana Qatar merupakan negara Arab yang menyokong pengganas. Morsi membiarkan terowong-terowong bawah tanah yang digunakan oleh HAMAS di sempadan Rafah-Gaza. Jelas terowong ini menggugat keamanan negara kami kerana terowong inilah yang digunakan oleh HAMAS untuk menyeludup senjata kepada Ikhwan di Mesir. Maka kerana itu, kami berterima kasih kepada pihak tentera yang memusnahkan terowong-terowong ini.
S: Apakah bukti anda mengatakan Ikhwan pertubuhan pengganas?
PS: Mereka bekerjasama baik dan sanggup mengupah mujahidin-mujahidin dari Iraq dan Afghanistan untuk menyerang pasukan keselamatan Mesir. Lihat, mutakhir ini kejadian letupan bom di balai-balai polis, tempat tumpuan awam dan gereja-gereja. Semua ini didalangi oleh Ikhwan dengan kerjasama HAMAS dan Al-Qaeda.
S: Jadi, bagaimana pula operasi pasukan keselamatan yang membunuh rakyat yang berkumpul secara aman di dataran Raba'ah dan Nahdhah?
PS: Siapa kata mereka kumpul secara aman? Mereka ingin mengangkat senjata dan menghuru-harakan negara. Senjata-senjata ini telah diseludup ke Mesir untuk digunakan oleh Ikhwan Muslimin bagi mengadakan pemberontakan kepada tentera. Mereka akan isytiharkan jihad kerana slogan mereka "Mati di jalan Allah cita-cita tertinggi mereka". Mereka yang dibunuh itu bukan rakyat Mesir tetapi anasir-anasir pengganas dari HAMAS dan Al-Qaeda yang datang ke negara kami untuk membuat kacau. Jika tidak tentera kami yang membunuh mereka nescaya Mesir hancur.
S: Jadi, anda menyokong pembunuhan pihak tentera di Raba'ah? Bukankah mereka itu rakyat Mesir, mungkin dari sanak saudara anda?
PS: Ya, saya sokong. Mereka semua itu bukan rakyat Mesir tetapi anasir-anasir pengganas dari luar negara. S: Bagaimana anda melihat HAMAS dan penduduk Gaza? Tidakkah tindakan tentera yang menutup pintu sempadan Rafah menyebabkan kesulitan kepada umat Islam di Gaza untuk mencari rezeki dan terowong yang dimusnahkan, bukankah terowong-terowong ini digunakan untuk membawa ubat-ubatan dan makanan asas ke dalam Gaza?
PS: HAMAS bagi kami, ia sebuah pertubuhan pengganas kerana menggugat keamanan negara Mesir sepertimana juga Ikhwan. Lihat slogan-slogan mereka "ALLAH matlamat kami, Rasul Ikutan Kami, Jihad jalan kami, Al Quran perlembagaan kami". Semua ini slogan yang dibuat oleh Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwan di Mesir. Jadi, mereka semua adalah musuh kepada negara Mesir. Adapun tindakan menutup sempadan dan memusnahkan terowong kerana HAMAS hanya menggunakan nama rakyat mereka untuk menggugat keselamatan Mesir, untuk mencapai cita-cita politik mereka, bukan digunakan untuk kepentingan rakyat mereka.
S: Bagaimana hukumat mati yang dijatuhkan kepada 529 dan 682 orang termasuk Mursyidul Am Ikhwan?
PS: Amat wajar sekali. Inilah balasan apa yang mereka buat sewaktu berkuasa. Balasan Tuhan kepada mereka yang mengkhianati negara dan amanah rakyat. Lihat apa yang dibuat oleh Morsi bila berkuasa. Habis dibolot jawatan menteri, gabenor dan kakitangan Pejabat Presiden hampir semuanya dilantik orang Ikhwan. Balasan kepada mereka yang meminta bantuan dari pengganas luar untuk mempertahankan kuasa mereka.
S: Adakah anda melihat apa yang berlaku di Mesir sekarang "satu rampasan kuasa tentera"?
PS: Tidak. Ia merupakan kebangkitan rakyat yang menolak pemerintahan diktator Mohammad Morsi. Morsi selama setahun gagal memerintah. Gagal membangunkan negara, menyebabkan ekonomi menjunam dan banyak krisis yang menyusahkan kehidupan rakyat seperti krisis petrol dan bekalan elektrik. Jadi, pada 30 Jun 2013 seluruh negara menyaksikan kebangkitan rakyat yang menolak Morsi. Ia sama situasi seperti Mubarak pada revolusi 25 Januari 2011. Pihak tentera yang bijak menilai kehendak rakyat hanya melaksanakan tuntutan rakyat yang mahu Morsi disingkirkan. Maka kami namakan ia "Revolusi 30 Jun", bukan rampasan kuasa seperti yang didakwa oleh Ikhwan. Oleh sebab itu, kami melihat Jeneral As-Sisi seorang hero yang berani menyelamatkan negara ini dari kerakusan Ikhwan Muslimin.
S: Bagaimana dakwaan yang mengatakan Jeneral As-Sisi itu pembunuh, pengkhianat dan Zionis Israel sendiri menobatkan dia sebagai "wira kepada rakyat Israel"?
PS: Itu semua fitnah yang dihamburkan kepada beliau. Ikhwan sejak dari dahulu memang terkenal sebagai kaki fitnah.
S: Bagaimana anada melihat sokongan seperti kerajaan Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memberikan dana kepada tentera?
PS: Mereka membantu atas semangat sesama Arab. Kerana itu kami terhutang budi dengan Saudi dan UAE yang bukan hanya memberikan sokongan moral tetapi dana kepada negara kami selepas Mesir hampir muflis di tangan Morsi.
S: Sekarang diadakan pilihanraya Presiden persaingan antara Hamdeen Sobahi dan Jeneral As-Sisi. Siapa pilihan anda?
PS: Tentunya wira kami, Jeneral As-Sisi. Dia akan menang dengan berkat Allah. Sobahi itu pun munafik. Dia amat rapat dengan Morsi maka dia juga mesti dikalahkan. Sobahi ialah talibarut Morsi dan Ikhwan.
S: Kata-kata terakhir anda kepada Jeneral As-Sisi?
PS: Insya Allah, anda akan menang wahai tuan Jeneral. Teruskan berjalan wahai Tuan Jeneral. Jangan diendahkan kepada celaan mereka yang dendam kesumat terhadapmu. Bimbinglah kami dan negara ini kepada kemajuan, kenikmatan dan kemakmuran. Teruskan menerkam mangsa-mangsamu dari kalangan musuh-musuh negara. Andalah wira negara. *
Temubual ini merupakan sinopsis rampasan kuasa yang berlaku sejak tahun lalu bagi memudahkan para pembaca memahami kenapa kudeta masih mendapat sokongan segelintir rakyat mereka dan hujah-hujah di atas sering digunapakai oleh penyokong kudeta berdasarkan pengamatan admin.
Sumber:: Prihatin Mesir
Kini terpulang pda anda utk menilainya
No comments:
Post a Comment